PERLEMBAGAAN MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(MBFM) BAB 5

PERLEMBAGAAN
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA
BAB 5


BAB YANG KELIMA
PERKARA-PERKARA AM


FASAL 27
TAFSIRAN

27.1     “MBFM atau MBFM Kebangsaan” ertinya Majlis Belia Felda Malaysia sebuah Pertubuhan Belia peringkat Kebangsaan.

27.2     “MBFM Negeri” ertinya Majlis Belia Felda Negeri sebuah Pertubuhan Belia peringkat Negeri yang diwujud mengikut BAB YANG KEDUA.

27.3     “MBFM Wilayah” ertinya Majlis Belia Felda Wilayah sebuah Pertubuhan Belia peringkat Felda Wilayah yang diwujud mengikut BAB YANG KETIGA.

27.4     “MBFM Cawangan” ertinya Persatuan Belia (MBFM) Felda sebuah Pertubuhan Belia peringkat Rancangan Felda yang diwujud mengikut BAB YANG KEEMPAT.

27.5     “MESYUARAT AGUNG TAHUNAN” ertinya mesyuarat yang wajib diadakan oleh pertubuhan belia ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam Fasal 9 Perlembagaan ini.

27.6     “JKKT” ertinya Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan, badan pengelola bagi pertubuhan belia ini seperti yang disebutkan dalam Fasal 10  Perlembagaan ini.

27.7     “JAWATANKUASA KERJA” ertinya badan pengelola bagi pertubuhan belia ini seperti yang disebutkan dalam Fasal 14 dan Fasal 21 Perlembagaan ini.

27.8     “PEJABAT” ertinya alamat urusan berdaftar pertubuhan belia seperti yang ditetapkan dalam Fasal 2 Perlembagaan ini.

27.9     “AHLI” ertinya ahli atau anggota pertubuhan belia seperti yang disebutkan dalam Fasal 5 Perlembagaan ini.

27.10 “PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA” ertinya Pendaftar Pertubuhan Belia yang dilantik di bawah subseksyen 4(1) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

 27.11 Tertakluk kepada peruntukan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini. Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan juga boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini sekiranya perlu dengan syarat tidak bertentangan dengan peruntukan mana-mana undang-undang.

FASAL 28

DISIPLIN MBFM


28.1         Tindakan dispilin boleh diambil di atas ahli yang melanggar tanggungjawab yang terkandung dalam Perlembagaan ini.

28.2         Jawatankuasa di Peringkat Kebangsaan, Negeri, Wilayah dan Cawangan bolehlah melaporkan ahli-ahli yang didapati melanggar disiplin MBFM kepada Jawatankuasa Disiplin MBFM Kebangsaan untuk tindakan yang sewajarnya.

28.3         Ahli-ahli MBFM yang melanggar disiplin MBFM boleh :-

(a)                                     Diberi amaran.
(b)                                     Digantung hak-haknya di dalam MBFM.
(c)                                      Dipecat.

28.4         Seseorang ahli yang tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin MBFM Negeri bolehlah merayu kepada Jawatankuasa Disipilin MBFM Kebangsaan dan keputusan Jawatankuasa Disiplin MBFM Kebangsaan adalah muktamad.

28.5         JKKT berhak mengadakan peraturan-peraturan dengan disiplin dalam MBFM.


FASAL 29
PUNCA PENDAPATAN

29.1.    Kewangan MBFM adalah diperolehi daripada :-

(a)         Yuran Ahli untuk MBFM Cawangan.
(b)        Derma-derma.
(c)     Ikhtiar-ikhtiar lain yang dipersetujukan oleh Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan, Negeri, Wilayah dan Cawangan.

29.2         SetiausahaMBFM Cawangan, Wilayah dan Negeri hendaklah menghantarkan kepada Setiausaha Agung, Penyata Penerimaan dan Pembayaran, Imbangan Kira-kira bagi tahun kewangan yang diperiksa dan disahkan.


FASAL 30
YURAN MBFM

30.1.    Yuran Ahli Biasa hanya untuk keahlian Persatuan MBFM Cawangan sahaja adalah seperti yang berikut :-

(a)     Yuran Keahlian            RM 1.00
(b)     Yuran Tahunan           RM 1.00

30.2.    MBFM Cawangan, MBFM Wilayah dan/atau MBFM Negeri boleh dikenakan mana-mana yuran yang bersesuaian dengan dipersetujui dan kelulusan JKKT.

30.3.    Semua yuran tahunan hendaklah dijelaskan tiap-tiap tahun.

30.4.    Seseorang ahli yang tertunggak yurannya selepas 6 bulan tahun berikutnya akan terhenti menjadi ahli dan akan hilang segala haknya dalam MBFM dan namanya akan dipotong dari daftar ahli.

30.5.    Seseorang yang terhenti dari menjadi ahli kerana tunggak yuran bolehlah memohon semula menjadi ahli mengikut Perlembagaan ini dengan syarat pemohon menjelaskan segala tunggakan yuran.

30.6.    Yuran yang dimaksudkan dalam Fasal 30.1 adalah dikira mengikut tahun kewangan seperti Fasal 31.6.


FASAL 31
KEWANGAN

31.1     Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini, wang pertubuhan belia ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan belia termasuklah perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia serta perbelanjaan lain yang di persetujui oleh Jawatankuasa Kerja. Walau bagaimanapun wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar penalti mana-mana pemegang jawatan atau ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh sesebuah Mahkamah.

31.2     Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) pada satu-satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan belia. 

31.3     Semua cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan belia hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Timbalan Pengerusi merupakan pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan belia.

31.4     Perbelanjaan yang melebihi RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu) bagi sesuatu masa perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Kerja dan perbelanjaan yang melebihi RM 100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu) bagi satu-satu masa perlu mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.

31.5     Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik dengan seberapa segera setelah tamatnya sesuatu tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya dan salinannya hendaklah dikemukakan untuk makluman semua ahli pertubuhan belia.

31.6     Tahun kewangan pertubuhan belia ini bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.

31.7     Semua akaun Persatuan hendaklah menggunakan nama Persatuan MBFM Cawangan masing-masing.


FASAL 32
JURUAUDIT ATAU PEMERIKSA KIRA-KIRA

32.1     Dua (2) orang ahli yang bukan menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja boleh dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit atau Pemeriksa Kira-kira. Tugas mereka adalah membuat pemeriksaan terhadap penyata kewangan pertubuhan belia dan membuat laporan dan pengesahan penyata-penyata yang berkaitan dengan kewangan pertubuhan belia.

32.2     Mesyuarat Agung Tahunan boleh juga melantik Firma Audit yang bertauliah bagi menjalankan kerja-kerja auditan ke atas pertubuhan belia sekiranya perlu.

FASAL 33

MEMINDA PERLEMBAGAAN


33.1         Perlembagaan ini atau sebarang bahagian daripadanya boleh dipinda atau dimansuhkan dengan ketetapan yang dipersetujukan oleh tidak kurang daripada   2/3 wakil-wakil yang hadir dalam Perhimpunan Agung dan hendaklah dikemukan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam tempoh 28 hari dari tarikh keputusan meminda Perlembagaan itu untuk mendapat kebenarannya.

33.2         Satu ketetapan hendak meminda atau memansuhkan Perlembagaan ini hendaklah dihantarkan kepada Setiausaha mengikut syarat di dalam peraturan mesyuarat MBFM.

33.3         Setiap pindaan akan berjalan kuatkuasanya mulai tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 34
MAJLIS PERUNDINGAN GENERASI BARU FELDA

34.1     Majlis Perundingan Generasi Baru Felda (MPGB) adalah sebuah badan penasihat bebas kepada MBFM.

34.2     Keanggotaannya adalah seorang yang bebas, bukan ahli kecuali Pegawai Kanan MBFM, bekas pemimpin MBFM dimana minima seramai tujuh (7) orang atau seramai difikirkan perlu oleh Presiden yang mengandungi :-

(a)              Yang DiPertua
(b)              Timbalan Yang DiPertua
(c)               Sekurang-kurang Lima (5) Ahli Majlis bebas
(d)              Pegawai Kanan MBFM
(e)              Presiden – Ex-Officio
(f)                Setiausaha Agung MBFM

34.3     Bidang kuasanya adalah untuk membantu Presiden melaksana tanggungjawab mengikut Fasal 4 perlembagaan ini.    

34.4     MPGB boleh merangka peraturan sendiri selagi tidak menyalahi perlembagaan ini.


FASAL 35
PERTIKAIAN DALAMAN

Adalah menjadi tugas Jawatankuasa Kerja untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul di kalangan ahli-ahli mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.


FASAL 36
PEMEGANG AMANAH

36.1     Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh pertubuhan belia. Semua harta tetap kepunyaan pertubuhan belia akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

36.2     Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindah hakmilik harta kepunyaan pertubuhan belia dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia.


36.3     Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung Tahunan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya. Pemegang Amanah yang baru boleh dilantik bagi menggantikan Pemegang Amanah tersebut melalui Mesyuarat Agung Tahunan.


FASAL 37
PINDAAN PERLEMBAGAAN

37.1     Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.

37.2     Permohonan untuk meminda perlembagaan ini hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang memutuskan perihal perubahan atau pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan kepada perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan bertulis Pendaftar Pertubuhan Belia.


FASAL 38
LARANGAN

38.1     Segala bentuk perjudian yang bertentangan dengan Undang-undang Malaysia atau permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah atau premis pertubuhan belia : Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkas, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, permainan mesin video dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

38.2     Pertubuhan belia atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti difinisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

38.3     Pertubuhan belia ini tidak boleh menjalankan loteri samada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama pertubuhan belia atau pemegang jawatan tanpa kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan dan pihak berkuasa.


FASAL 39
PEMBUBARAN

39.1     Pertubuhan belia ini boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil untuk tujuan tersebut.

39.2     Sekiranya pertubuhan belia ini hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan pertubuhan belia yang sah dari segi undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diurus mengikut cara yang dipersetujui oleh Mesyuarat Agung tersebut.

39.3     Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran tersebut.