PERLEMBAGAAN MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(MBFM) BAB 4

PERLEMBAGAAN
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(CAWANGAN)
BAB 4


BAB YANG KEEMPAT
SUSUNAN PENTADBIRAN MBFM CAWANGAN


FASAL 23

SUSUNAN DAN PENTADBIRAN CAWANGAN MBFM


23.1         Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan berkuasa menubuh, menggantung dan membubarkan MBFM Cawangan setelah terlebih dahulu berunding dan merujuk kepada Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah berkenaan.

23.2     Selain dari rancangan Felda, MBFM boleh ditubuhkan di dalam mana-mana kawasan yang mempunyai entiti Felda.

23.3     Tertakluk kepada Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat Agung Tahunan MBFM, perjalanan MBFM Cawangan adalah berasaskan kepada kuasa dan perintah Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Cawangan.

23.4     Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

(a)              Ahli-ahli Jawatankuasa MBFM Cawangan.

(b)              Ahli-ahli MBFM yang telah menjelaskan yuran tahunannya mengikut Fasal 30.1 dan Fasal 30.6.

23.5     Tugas-tugas Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Cawangan ialah :-

(a)       Membincangkan dasar MBFM untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan MBFM Wilayah.

(b)       Mengkaji kerja-kerja yang telah dibuat oleh Jawatankuasa MBFM Cawangan.

(c)       Mengadakan rancangan-rancangan kerja untuk faedah rakyat.

(d)       Memilih Ahli-ahli Jawatankuasa tertakluk kepada Fasal 25.

(e)       Memilih dua orang Pemeriksa Kira-Kira mengikut Fasal 32.

(f)        Memilih perwakilan cawangan ke Mesyuarat Perwakilan MBFM Wilayah mengikut Fasal 17.2(b). Perwakilan yang tidak dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.

(g)       Mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah mengikut Fasal 20.2.
23.6     Mesyuarat Agung Tahunan Khas MBFM Cawangan hendaklah diadakan dengan permintaan bertulis daripada satu perdua jumlah ahli-ahli. Jika Setiausaha tidak memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Khas MBFM Cawangan itu dalam tempoh empat belas hari maka Mesyuarat Agung Tahunan Khas MBFM Cawangan itu hendaklah dipanggil oleh Jawatankuasa MBFM Wilayah.

 


FASAL 24
PEJABAT SETIAUSAHA CAWANGAN

Pejabat Setiausaha bolehlah ditempatkan di mana-mana yang dipersetujui oleh Jawatankuasa MBFM Cawangan dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia.

 


FASAL 25

JAWATANKUASA MBFM CAWANGAN

25.1         Jawatankuasa Kerja MBFM Cawangan Mengandungi :-

(a)       Seorang Pengerusi
(b)       Seorang Naib Pengerusi 1
(c)       Seorang Naib Pengerusi 2 (Wanita)
(d)       Seorang Setiausaha
(e)       Seorang Penolong Setiausaha
(f)        Seorang Bendahari
(g)       Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Cawangan yang terdiri daripada 7 orang yang dipilih bagi 50 atau kurang orang ahli pertama dan tambahan seorang bagi setiap 50 orang ahli berikutnya.

25.2         Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari tidak dipilih dalam mesyuarat agung tetapi dilantik oleh Pengerusi dan tidak lebih dari tiga (3) orang ahli Jawatankuasa juga adalah dilantik atas kuasa Pengerusi MBFM Cawangan dan akan memegang jawatan mereka selama tempoh Jawatankuasa MBFM Cawangan yang berkenaan kecuali mereka minta berhenti atau diberhentikan oleh Pengerusi MBFM Cawangan.

25.3         Jawatan Ahli-ahli Jawatankuasa MBFM Cawangan tidak menjadi kosong disebabkan seseorang ahli itu telah dilantik menjadi Pegawai mengikut Fasal 25.2.

25.4         Jawatankuasa MBFM Cawangan hendaklah bersidang sekurang-kurangnya dua bulan sekali, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Pengerusi atau dengan permintaan bersurat daripada satu pertiga Ahli Jawatankuasa MBFM Cawangan.

25.5         Jika Setiausaha tidak memanggil mesyuarat mengikut fasal 23.3 dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan itu dibuat maka ahli yang memohon boleh memanggil mesyuarat itu dengan syarat semua Ahli Jawatankuasa MBFM Cawangan dijemput hadir.

25.6         Satu perdua (1/2) daripada Ahli Jawatankuasa adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat.

25.7         Sekiranya seseorang Ahli Jawatankuasa yang dipilih tiada lagi memegang jawatannya maka jawatan itu tidak boleh diganti.

25.8         Jika Pengerusi MBFM Cawangan berhenti atau diberhentikan maka Naib Pengerusi mengikut kekanan akan memangku jawatan itu dan jika Pemangku Pengerusi itu berhenti juga atau diberhentikan maka salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa boleh dilantik memangku jawatan itu.

25.9         Jika Pengerusi dan Naib-naib Pengerusi tidak hadir di dalam Mesyuarat Jawatankuasa maka salah seorang daripada ahli-ahli yang hadir itu boleh dilantik menjadi Pengerusi mesyuarat.


FASAL 26

TUGAS AHLI-AHLI JAWATANKUASA KERJA MBFM CAWANGAN


26.1     Pengerusi

(a)       Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
(b)       Menjadi Pengerusi dan bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan
pengurusan pertubuhan belia.
(c)       Melantik Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan 3 orang jawatankuasa pertubuhan belia cawangan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja.
(d)       Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Bendahari pertubuhan belia.

26.2     Naib-naib Pengerusi

(a)       Menjalankan tugas Pengerusi semasa ketiadaan Pengerusi.
(b)       Membantu Pengerusi melaksanakan tanggungjawab mentadbir dan mengurus pertubuhan belia.

26.3     Setiausaha

(a)       Bertanggungjawab kepada Pengerusi.
(b)       Melaporkan kepada Pengerusi segala tindakan berkaitan pentadbiran dan pengurusan pejabat pertubuhan belia.
(c)       Mengendalikan urusan surat menyurat, penyimpanan rekod, fail dan dokumen pertubuhan belia.
(d)       Mengemaskini daftar ahli pertubuhan belia.
(e)       Menghadiri semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan membuat catatan minit mesyuarat.
(f)        Menguruskan persediaan, pelaksanaan dan pelaporan Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia.
(g)       Mengemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 60 hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan atau sekiranya tiada Mesyuarat Agung Tahunan, 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalender, penyata tahunan pertubuhan belia sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
             
26.4     Penolong Setiausaha

(a)       Membantu Setiausaha dalam pelaksanaan tugas-tugasnya.
(b)       Menjalankan tugas Setiausaha semasa ketiadaan beliau.

26.5     Bendahari

(a)       Menguruskan hal berkaitan kewangan pertubuhan belia.
(b)       Menyedia dan membentangkan Penyata Kewangan pertubuhan belia bagi tujuan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
(c)       Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Pengerusi.
(d)       Mengemaskini semua rekod kewangan pertubuhan belia.
(e)       Mengutip semua jenis yuran atau bayaran yang dikenakan daripada ahli pertubuhan belia.

26.6     Ahli Jawatankuasa

(a)       Mempengerusikan Jawatankuasa Kecil yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja MBFM Cawangan.
(b)       Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikannya.
(c)       Membantu dalam pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia secara keseluruhan.
(d)       Memastikan Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikannya melaksanakan aktiviti dan fungsinya.