PERLEMBAGAAN MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(MBFM) BAB 3

PERLEMBAGAAN
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(WILAYAH)
BAB 3


BAB YANG KETIGA
SUSUNAN PENTADBIRAN MBFM WILAYAH


FASAL 16

SUSUNAN DAN PENTADBIRAN MBFM WILAYAH


16.1         MBFM Wilayah hendaklah ditubuhkan di setiap Wilayah Pentadbiran FELDA.

16.2         Tahun Kewangan MBFM Wilayah ialah bermula daripada 1 JANUARI dan berakhir pada 31 DISEMBER.

16.3         Penubuhan MBFM Wilayah hendaklah dengan persetujuan dan diiktiraf oleh JKKT Kebangsaan.

16.4         Bila difikirkan perlu diatas kepentingan MBFM bolehlah ditubuhkan sebuah Daerah Kecil dalam MBFM Wilayah dan ianya menjadi sebahagian stuktur MBFM Wilayah itu sendiri.

16.5         MBFM Wilayah berkuasa atas budi bicara menubuhkan MBFM Daerah Kecil dan hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 3 MBFM Cawangan bagi membolehkannya untuk bergabung atau membawa kepentingan dibawahnya di setiap Daerah.

 

FASAL 17
MESYUARAT PERWAKILAN TAHUNAN MBFM WILAYAH

17.1.    Mesyuarat Perwakilan Tahunan MBFM Wilayah hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun tidak lewat dari 30 April, tetapi dengan kehendak Pengerusi MBFM Wilayah bolehlah didahulukan atau ditangguhkan dengan syarat tidak lewat daripada tarikh diadakan Konvensyen Peringkat MBFM Negeri dan Mesyuarat Perwakilan MBFM Kebangsaan.  

17.2         Mesyuarat Perwakilan Tahunan MBFM Wilayah terdiri daripada :-

(a)              Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah.

(b)              Perwakilan Cawangan yang dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Cawangan mengikut kadar 2 orang termasuk Pengerusi MBFM Cawangan bagi 50 atau kurang orang ahli biasa cawangan yang pertama  dan seorang perwakilan tambahan bagi 50 orang ahli biasa selebihnya tetapi tidak melebihi 10 orang perwakilan bagi sesuatu cawangan  yang telah menjelaskan yurannya.

(c)       Pengerusi MBFM Cawangan  yang menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah berhak melantik gantinya (berstatus Perwakilan) dari kalangan ahli-ahli cawangannya.

 

17.3.    Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah tidak boleh dipilih menjadi perwakilan kepada cawangan.

 

17.4.    Hanya perwakilan sahaja boleh dan layak mengundi. Pengerusi mesyuarat boleh memutuskan sesuatu apabila undi terbahagi sama banyak.      


17.5.    Pemberitahu Notis dan Agenda Mesyuarat Perwakilan Tahunan kepada Setiausaha MBFM Cawangan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh mesyuarat perwakilan tahunan itu diadakan, segala usul-usul dan cadangan-cadangan hendaklah sampai ke tangan Setiausaha MBFM Wilayah selewat-lewatnya 7 hari sebelum mesyuarat perwakilan tahunan diadakan. 

17.6         Satu perdua (1/2) dari jumlah perwakilan cawangan atau 4 kali jumlah Jawatan Kuasa Kerja MBFM Wilayah atau mana yang lebih kurang sepatutnya hadir adalah cukup koram.

17.7         Kiranya tidak cukup koram hendaklah ditangguhkan Mesyuarat Perwakilan Tahunan itu kepada satu masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah.

17.8.    Membentangkan kepada Mesyuarat Perwakilan Tahunan laporan-laporan daripada Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah memutuskan sebarang perkara mengenai MBFM Wilayah, melantik ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira serta membincangkan dan memutuskan perkara-perkara lain yang terkandung dalam agenda.



FASAL 18

TUGAS-TUGAS MESYUARAT PERWAKILAN WILAYAH


18.1         Membincangkan dasar-dasar MBFM untuk dikemukakan dalam Konvensyen Peringkat MBFM Negeri.

18.2         Memilih Ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah.

18.3         Bagi Ahli-ahli yang hendak bertanding Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah hendaklah mendapat sekurang-kurangnya 2 pencalonan dari 2 buah MBFM Cawangan yang berbeza.

18.4         Memilih wakil-wakil MBFM Wilayah ke Mesyuarat Perwakilan Negeri atau Konvensyen dan seramai 10 orang perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Kebangsaan. Perwakilan yang dipilih diluar Mesyuarat Perwakilan MBFM Wilayah atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.


18.5         Mencadangkan Pengerusi  Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan 2 orang Pemeriksa Kira-kira di peringkat MBFM Kebangsaan.

18.6         Mencadangkan nama calon-calon untuk menjadi Ahli Jawatankuasa di peringkat MBFM Kebangsaan mengikut fasal 10.


FASAL 19

MESYUARAT PERWAKILAN LUAR BIASA MBFM WILAYAH


19.1         Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa MBFM Wilayah yang sama seperti Mesyuarat Perwakilan Tahunan MBFM Wilayah bolehlah diadakan pada bila-bila masa mengikut satu dari syarat-syarat berikut :-

(a)               Dengan permintaan bertulis 2/3 Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah menyatakan sebab perlunya Mesyuarat Perwakilan Luar  Biasa diadakan.

(b)       Dengan permintaan bertulis dari sekurang-kurangnya 5 buah MBFM Cawangan menyatakan sebab-sebab perlunya Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa itu diadakan.

19.2         Pemberitahu agenda Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa MBFM Wilayah hendaklah dihantarkan kepada Setiausaha MBFM Cawangan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara yang ada dalam agenda sahaja yang boleh dibincangkan dalam mesyuarat.

19.3         Fasal 17 ceraian 17.6 dan 17.7 dipakai dan jika tidak cukup korum juga setelah ditangguhkan mesyuarat itu dibawah Fasal 17 ceraian 17.7 maka mesyuarat ini hendaklah dibatalkan.

19.4         Satu salinan rangka minit Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa MBFM Wilayah hendaklah disampaikan kepada Setiausaha MBFM Cawangan, Setiausaha MBFM Negeri dan Setiausaha Agung MBFM dengan segera setelah selesai mesyuarat.

 


FASAL 20

JAWATANKUASA KERJA MBFM WILAYAH


20.1         Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah adalah badan yang menjalankan pentadbiran MBFM Wilayah di bawah kekuasaan dan perintah Mesyuarat Perwakilan MBFM Wilayah dan tertakluk kepada Perlembagaan MBFM.

20.2         Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah Mengandungi :-

(a)       Seorang Pengerusi
(b)       Seorang Timbalan Pengerusi
(c)       Seorang Naib Pengerusi 1
(d)       Seorang Naib Pengerusi 2 (Wanita)
(e)       Seorang Naib Pengerusi 3 (Remaja) - tidak melebihi umur 25 tahun   
(f)        Seorang Setiausaha Kehormat
(g)       Seorang Penolong Setiausaha Kehormat
(h)       Seorang Bendahari Kehormat
(i)        Seorang Ketua Penerangan
(j)        Ahli-ahli Biasa Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah yang terdiri
            daripada ;

  (i)        Tidak lebih dari 10 orang ahli yang dipilih oleh Mesyuarat.
(ii)              Tidak melebihi daripada 5 orang ahli yang dilantik oleh
            Pengerusi MBFM Wilayah.

20.3     Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi 1, Naib Pengerusi 2 (Wanita) dan Sepuluh orang Ahli Jawatankuasa adalah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (pemilihan) tiap-tiap 2 tahun sekali.

20.4     Naib Pengerusi 3 (Remaja), Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat, Bendahari Kehormat, Ketua Penerangan dan 5 orang ahli Jawatankuasa Kerja hendaklah dilantik oleh Pengerusi MBFM Wilayah dan memegang jawatan mereka selama tempoh Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah melainkan ia minta berhenti atau diberhentikan.

20.5     Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah akan memegang jawatan selama 2 tahun.

20.6     Satu perdua (1/2) Ahli Jawatankuasanya hadir adalah cukup korum.

20.7     Jika Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Naib-naib Pengerusi tidak hadir dalam mesyuarat, maka ahli-ahli Jawatankuasa yang hadir bolehlah memilih salah seorang daripada mereka menjadi Pengerusi Mesyuarat.

20.8     Panggilan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah akan diuruskan oleh Setiausaha Kehormat atas arahan dan persetujuan Pengerusi atau permintaan bertulis sekurang-kurangnya satu perdua daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah.

20.9     Apabila sesuatu perkara yang berkehendakkan keputusan Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah dengan serta merta dan tidak dapat diadakan mesyuarat, maka mendapatkan keputusan dengan surat pekeliling kepada Ahli-ahli Jawatankuasa dan dicatatkan segala keputusan dalam minit mesyuarat yang berikut.


FASAL 21

KEWAJIPAN DAN KUASA JAWATANKUASA KERJA MBFM WILAYAH


Kewajipan dan kuasa Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah adalah seperti berikut :-

21.1         Berkuasa melantik Jawatankuasa Kerja Wilayah untuk mengemaskan perjalanan MBFM Wilayah.

21.2         Membentuk asas, dasar dan rancangan dalam melaksanakan Fasal 4 Perlembagaan MBFM.

21.3         Berikhtiar menolong menubuhkan MBFM Cawangan dan menyesuaikan perjalanannya mengikut Perlembagaan MBFM dan memerhati serta mengawal perjalanan MBFM Cawangan yang ada di dalam Wilayah itu.

21.4         Membentangkan kepada Mesyuarat Perwakilan Tahunan satu laporan lengkap bagi menerangkan perjalanan MBFM Wilayah termasuk maju mundurnya, kekuatan dan kelemahan serta Penyata Kewangan yang telah diperiksa dan disahkan oleh Juru Audit Dalam atau Pemeriksa Kira-kira.

21.5         Akan memberikan nasihat kepada mana-mana MBFM Cawangan dalam MBFM Wilayah ini, yang berbangkit perselisihan faham dikalangan ahli-ahli Biasa ataupun Jawatankuasa Kerja MBFM Cawangan itu.
                                                                                                             
21.6         Menimbang dan memutuskan segala rayuan dan permohonan daripada Persatuan yang telah dimajukan kepada Setiausaha MBFM Wilayah.

21.7         Segala rayuan dan permohonan daripada ahli yang telah dimajukan kepada Setiausaha Kehormat MBFM Wilayah hendaklah diangkat kepada Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan untuk diputuskan.

 


FASAL 22

TUGAS AHLI-AHLI JAWATANKUASA KERJA MBFM WILAYAH


22.1         PENGERUSI

(a)       Melantik dan mengugurkan Naib Pengerusi 3 (Remaja), Setiausaha Kehormat dan Penolong SetiausahaKehormat, Bendahari Kehormat, Ketua Penerangan dan 5 orang Ahli Jawatankuasa.

(b)       Bertanggungjawab ke atas semua pegawai-pegawai dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah.

(c)       Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah

(d)              Menandatangani cek-cek MBFM Wilayah bersama-sama dengan
Bendahari Kehormat.


22.2         TIMBALAN PENGERUSI

(a)        Membantu Pengerusi menjalankan tugas-tugasnya.

(b)  Memangku tugas-tugas Pengerusi dalam masa ketiadaannya.


22.3     NAIB-NAIB PENGERUSI

(a)       Memangku tugas-tugas Pengerusi dalam masa ketiadaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi mengikut kekanan.
        
(b)       Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah apabila Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir.


22.4     SETIAUSAHA KEHORMAT

Setiausaha adalah bertanggungjawab :-

(a)               Secara langsung kepada Pengerusi.

(b)      Atas surat-menyurat, buku-buku, dokumen-dokumen dan lain-lain dengan teratur.

(c)        Menguruskan panggilan mesyuarat-mesyuarat atas arahan dan persetujuan Pengerusi serta menghadiri dan menulis Minit Mesyuarat tersebut.

(d)      Menyimpan daftar Ahli.

(e)        Mendapatkan persetujuan daripada Pengerusi berkenaan dengan pengambilan Pegawai-pegawai pejabat dan juga atas perberhentian mereka itu.

(f)        Mengawasi kerja-kerja kakitangan.

(g)                   Melaporkan kepada Pengerusi segala tindakan yang dijalankan berhubung dengan pentadbiran MBFM Wilayah.

(h)      Mengadakan pejabat mana hendaklah ditempatkan di pusat
pentadbiran   MBFM Wilayah atau mana-mana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah dan melaporkan kepada Setiausaha Agung MBFM dan Setiausaha MBFM Negeri alamat pejabat tersebut.


22.5  PENOLONG SETIAUSAHA KEHORMAT

(a)       Membantu Setiausaha menjalankan tugas-tugasnya.

(b)      Memangku jawatan Setiausaha semasa ketiadaannya.


22.6.  BENDAHARI KEHORMAT

(a)       Bertanggungjawab menerima dan membayar segala wang bagi pihak MBFM Wilayah.

(b)       Menyimpan buku kira-kira dengan baik dan teratur.

(c)       Menyediakan Penyata Kewangan bagi tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan.

(d)       Menandatangani segala cek-cek bagi pihak MBFM Wilayah bersama-sama dengan Pengerusi.


22.7.  KETUA PENERANGAN

(a)       Bertanggungjawab dan keupayaan dalam kegiatan penerangan dan melaporkan kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Kerja di Peringkat MBFM Wilayah.

(b)      Mentadbir Jabatan Penerangan dan menyusun kerja-kerja Pegawai di dalam jabatan itu.


22.8. AHLI-AHLI BIASA JAWATANKUASA KERJA

Bertanggungjawab membantu Jawatankuasa Kerja MBFM Wilayah
            melaksanakan tugas yang ditentukan.