PERLEMBAGAAN MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(MBFM) BAB 2

PERLEMBAGAAN
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA(NEGERI)


BAB YANG KEDUA
SUSUNAN PENTADBIRAN MBFM NEGERI


FASAL 13
SUSUNAN PERHUBUNGAN NEGERI MBFM NEGERI

13.1         Perhubungan Negeri hanya boleh ditubuhkan dengan kelulusan oleh Jawatankuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan di tiap-tiap Negeri dan Wilayah Persekutuan.

13.2         Pentadbiran MBFM Negeri adalah di bawah kekuasaan dan arahan Mesyuarat Perwakilan Tahunan atau kovensyen tetapi Mesyuarat Perwakilan Tahunan itu sendiri tertakluk di bawah Perlembagaan Pentadbiran MBFM Negeri dan di bawah kekuasaan dan arahan Mesyuarat Perwakilan Tahunan.

13.3         Tahun kewangan MBFM Negeri ialah bermula dari 1 JANUARI dan berakhir pada 31 DISEMBER.

13.4         Perhubungan Negeri terdiri daripada:-
(a)              Seorang Pengerusi
(b)              Seorang Timbalan Pengerusi.
(c)               Seorang Naib Pengerusi 1
(d)              Seorang Naib Pengerusi 2
(e)              Seorang Naib Pengerusi 3 (Wanita)
(f)                Seorang Setiausaha
(g)              Seorang Bendahari
(h)              Seorang Ketua Penerangan.
(i)                Ahli-ahli Biasa  Jawatankuasa Negeri yang Terdiri daripada;

(i)        Pengerusi Wilayah. Jika Pengerusi memegang Jawatan sebagai Pegawai maka akan diganti oleh Timbalannya.

(ii)              7 orang yang dilantik oleh Pengerusi.

13.5         Naib-naib Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan dilantik oleh Pengerusi dan akan memegang jawatan mereka selama tempoh JKKT kecuali mereka berhenti atau diberhentikan oleh Pengerusi.

13.6         Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Negeri jika Pengerusi  tidak dapat hadir, Timbalan Pengerusi berhak mengambil tempat Pengerusi.

13.7         Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri hendaklah dilantik oleh Presiden yang mereka memegang jawatan masing-masing selama tempoh Jawatan Kuasa Kerja Tertinggi Kebangsaan tetapi boleh berhenti atau diberhentikan oleh Presiden pada bila-bila masa.

FASAL 14
KEWAJIPAN DAN KUASA JAWATANKUASA KERJA MBFM NEGERI

Kewajipan-kewajipan dan kuasa Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri adalah seperti berikut:-

14.1         Berkuasa melantik Jawatankuasa Kecil untuk mengemaskan perjalanan MBFM Negeri.

14.2         Membentuk asas, dasar dan rancangan dalam perlaksanaan Fasal 4 dalam Perlembagaan MBFM.

14.3         Mengiktiraf penubuhan MBFM Wilayah dan menyesuaikan perjalanannya mengikut Perlembagaan, memerhati serta mengawal perjalanan MBFM Wilayah.

14.4         Membentangkan kepada Mesyuarat Perwakilan Tahunan atau kovensyen satu laporan lengkap bagi menerangkan perjalanan MBFM Negeri termasuk maju mundur, kekuatan dan kelemahan serta Penyata Kewangan yang telah diperiksa dan disahkan.

14.5         Menyelesaikan perselisihan yang berbangkit di kalangan Persatuan dan memutuskan segala rayuan samada daripada ahli-ahli atau Ahli Jawatankuasa setelah diminta oleh MBFM Wilayah.

14.6         Menjalankan sebarang usaha bersama dengan kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan lain atas hal-hal yang sesuai dengan Perlembagaan MBFM.

14.7            Memilih ahli-ahli bagi mewakili MBFM di dalam sebarang kumpulan atau jemaah atau Majlis Mesyuarat dan sebagainya.

14.8            Memantau serta mengawal selia Mesyuarat Perwakilan MBFM Wilayah ATAU Cawangan.

14.9            Wakil JKKT Kebangsaan boleh hadir dan mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat sebagai pemantau Perhubungan Negeri tetapi tidak boleh mengundi.

14.10       Perhubungan Negeri hendaklah bersidang atau bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua bulan, atau;

(a)  Pada bila-bila masa dikehendaki oleh Pengerusi atau;
(b)  Dengan permintaan bertulis daripada satu pertiga daripada bilangan ahli-ahlinya.

14.11  Jika Setiausaha tidak memanggil mesyuarat mengikut Fasal 14.10 selepas 14 hari daripada tarikh permohonan itu diterima maka ahli-ahli yang memohon itu boleh mengadakan mesyuarat itu dengan syarat semua ahli hendaklah dijemput hadir.
14.12     Satu perdua (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri adalah menjadi cukup bilang menjalankan mesyuaratnya.

14.13     Perhubungan Negeri hendaklah mengadakan konvensyen di peringkat Negeri dan Wilayah Persekutuan yang mengandungi wakil-wakil daripada Cawangan-cawangan. JKKT Kebangsaan berkuasa menentukan syarat-syarat dan lain-lain perkara berhubung dengan Konvensyen itu.

14.14     Di dalam tiap-tiap Mesyuarat Perhubungan Negeri jika Pengerusi dan Timbalannya tidak hadir maka salah seorang daripada ahli yang hadir itu boleh dipilih menjadi Pengerusi.

14.15     Satu perdua (1/2) dari jumlah wakil-wakil cawangan atau 4 kali jumlah Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri atau mana yang lebih kurang sepatutnya hadir adalah cukup koram untuk menjalankan Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan atau Kovensyen.

14.16     Kiranya tidak cukup koram hendaklah ditangguhkan Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan atau kovensyen itu kepada satu masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri dan jika kemudian koram tidak juga mencukupi, perwakilan yang hadir berkuasa menjalankan mesyuarat tersebut.  


FASAL 15

TUGAS AHLI-AHLI JAWATANKUASA KERJA MBFM NEGERI


Tugas-tugas Pegawai-pegawai Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri adalah seperti berikut :-


15.1         PENGERUSI

(a)       Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri.

(b)                   Menandatangani cek-cek MBFM Negeri bersama-sama dengan Bendahari.

(c)       Mengawasi segala pentadbiran dan perjalanan MBFM Negeri.

(d)       Melantik dan mengugurkan Naib-naib Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari, Ketua Penerangan dan 7 orang Ahli Biasa Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri.

(e)       Mewakili Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri dalam Majlis Perundingan
Generasi Baru Felda.



15.2         TIMBALAN PENGERUSI

(a)              Akan memangku tugas Pengerusi dalam masa ketiadaannya.


15.3         NAIB-NAIB PENGERUSI

(a)       Memangku tugas-tugas Pengerusi dalam masa ketiadaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi mengikut kekanan.
        
(b)       Mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan Jawatankuasa Kerja Negeri apabila Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir.


15.4.  SETIAUSAHA

         Setiausaha adalah bertanggungjawab :-

(a)       Secara langsung kepada Pengerusi.

(b)       Melaporkan kepada Pengerusi segala tindakan yang dijalankan berhubung   dengan pentadbiran pejabat.

(c)       Mendapat persetujuan daripada Pengerusi berkenaan dengan pengambilan Pegawai dan anggota-anggota pejabat dan juga atas perberhentian mereka itu.

(d)       Menguruskan panggilan mesyuarat-mesyuarat atas arahan dan persetujuan Pengerusi serta menghadiri dan menulis Minit Mesyuarat tersebut.

(e)       Mengawasi kerja-kerja kakitangan.

(f)        Atas surat-menyurat, buku-buku, dokumen-dokumen dan lain-lain dengan teratur.

(g)       Menyimpan daftar ahli.

(h)       Mengadakan pejabat yang mana hendaklah ditempatkan di pusat pentadbiran Negeri atau di mana-mana yang ditentukan oleh Ahli Jaawatankuasa Kerja MBFM Negeri, dan melaporkan kepada Setiausaha Agung alamat pejabat tersebut.


15.5.    BENDAHARI

(a)       Bertanggungjawab menerima dan membayar segala wang bagi pihak MBFM Negeri.

(b)             Menyimpan buku kira-kira dengan teratur.

(c)              Menyediakan Penyata Kewangan bagi tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Kerja MBFM Negeri dan Mesyuarat Perwakilan  Agung Tahunan atau Konvensyen.

(d)             Menandatangani segala cek-cek bagi pihak MBFM Negeri bersama-sama dengan Pengerusi.


15.6.    KETUA PENERANGAN

(a)       Bertanggungjawab dan keupayaan dalam kegiatan penerangan dan melaporkan kepada Pengerusi dan Jawatan Kuasa Kerja di Peringkat Negeri.

(b)      Mentadbir Jabatan Penerangan dan menyusun kerja-kerja Pegawai di dalam jabatan itu.


15.7.    AHLI-AHLI BIASA JAWATANKUASA NEGERI

Bertanggungjawab melaksanakan tugas yang ditentukan.